Menggalakkan amalan hidup sihat, mengimarahkan masjid dengan aktiviti keagamaan



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





KAMPUNG BENGKURONG, Ahad, 21 Jun. - Dalam menyambut kedatangan Tahun Baharu Hijrah, lebih 200 peserta pagi tadi menyertai Program Walkaton Minal Masjid Ilal Masjid anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Kilanas dan masjid-masjid di dalam Mukim Kilanas.


Walkaton sejauh kira-kira 3.2 kilometer itu bermula dari Masjid Kampung Bengkurong dan berakhir di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit (MDRIPAD), Mukim Kilanas.


Hadir selaku tetamu kehormat pada program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.


Turut hadir, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.


Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas; Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim; Penghulu Mukim Kilanas dan Ketua Kampung Tasek Meradun dan Kampung Bunut, Awang Ahmad Hussaini bin Haji Mohsin, ketua-ketua kampung, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan penduduk Mukim Kilanas.


Terdahulu, program yang berlangsung di Masjid Kampung Bengkurong dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah, diikuti dengan Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Muhammad Nasyith bin Superi mengenai peristiwa hijrah dan pentingnya usaha dan berjemaah.


Beliau juga mengingatkan para jemaah untuk memelihara sembahyang fardu, menjaga Al-Quran, perbanyakan zikir dan doa, menjaga pergaulan dan mendenda diri sendiri dengan kebaikan.


Acara diteruskan dengan sesi berjalan kaki bermula dari Masjid Kampung Bengkurong menuju ke MDRIPAD, Mukim Kilanas. Program kemudian diteruskan dengan Sembahyang Sunat Taubat dan Sembahyang Sunat Duha berserta selawat.


Tazkirah kedua disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Strategik dan Jaminan Kualiti, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Haji Muhammad Khairul Azhar bin Idris yang antaranya mengongsikan tentang peristiwa hijrah dan pengajaran yang dapat diperoleh iaitu iman yang kukuh dapat memberikan keberanian untuk berubah. Seterusnya, penyampaian hadiah disempurnakan oleh tetamu kehormat bagi Pertandingan Memanah antara Masjid-masjid Mukim Kilanas sempena Ilal Hijrah.


Juara acara berkumpulan dimenangi oleh Masjid Ar-Rahman dan juara bagi Acara Persendirian dimenangi oleh Ketua Kampung Kilanas dan Pemangku Ketua Kampung Jangsak, Awang Haji Mohd. Ameerolbahrynee bin Haji Abdul Hamid. Aktiviti diakhiri dengan sesi menanam pokok-pokok buah di pekarangan MDRIPAD.


MPM Kilanas terdiri daripada lapan buah MPK dan enam buah masjid. Penganjuran program kali ketiga itu merupakan salah satu usaha untuk memperkukuh ukhuwah di kalangan penduduk khususnya Mukim Kilanas melalui aktiviti yang berteraskan nilai-nilai Islam. Di samping itu, ia juga menggalakkan amalan hidup sihat dan mengimarahkan masjid dengan aktiviti-aktiviti keagamaan dan berunsurkan alam sekitar.


Close